Friday, 24 June 2011 17:10

Risiko dan Panduan Anak-anak Menggunakan Internet Featured

Written by  Ratuhati.com
Rate this item
(0 votes)

Internet telah mencipta dunia tanpa sempadan dengan menyediakan sumber maklumat yang hebat, bebas dan terkini. Anak-anak boleh mencari bahan untuk kerja sekolah, berhubung dengan guru dan rakan, dan bermain permainan interaktif. Kanak-kanak yang sudah berkebolehan menaip huruf pula, sudah boleh membuat capaian ke seluruh dunia dengan enjin carian. Namun, kelebihan internet ini juga datang dengan risikonya.

Risiko Online

  1. Pendedahan maklumat rumah dan peribadi
  2. Buli siber
  3. Pornografi
  4. Kekejaman, kebencian dan perkauman
  5. Permainan online dan ketagihan
  6. Penipuan
  7. Maklumat atau informasi palsu

Dim lights Embed Embed this video on your site

Kerahsiaan Maklumat

  1. Gunakan nama yang tidak terkait gender
  2. Elakkan memberi nama sebenar, umur, alamat rumah, nombor telefon, alamat email dan nama sekolah
  3. Jangan memberitahu maklumat sulit seperti username dan password mereka
  4. Elakkan memberitahu lokasi semasa anak-anak atau ibu bapa.

Mendidik

  1. Dengan kemajuan teknologi dan wujudnya peralatan komunikasi seperti telefon bimbit, PDA dan permainan video, komputer bukan lagi satu-satunya peralatan untuk menjelajah dunia siber. Hambatan kesibukan bekerja juga semakin menyukarkan untuk ibu bapa memantau aktiviti online anak-anak mereka. Jadi, didik mereka mengenai etika dan risiko penggunaan internet supaya mereka boleh bertindak bijak melindungi diri sendiri.
  2. Sesibuk manapun anda, ambil masa untuk layari internet bersama mereka. Ketahui bagaimana mereka berinteraksi di laman sosial, kenali kawan-kawan internet mereka dan laman web yang kerap mereka kunjungi. Pastikan ia bersesuaian dengan umur mereka dan tidak membahayakan mereka sama ada dari segi akidah mahupun akhlak.
  3. Adalah biasa jika mereka lebih mahir daripada ibu bapa. Jadi gunakan kesempatan ini untuk belajar daripada mereka sambil mendekati mereka.
  4. Anda juga perlu biasa menggunakan internet dan teknologi maklumat. Belajar tentang Facebook, twitter, blog, youtube dan sebagainya.  Anda juga boleh belajar daripada anak-anak yang mungkin lebih mahir sambil mendekati mereka.
  5. Ibu bapa tunjukkan contoh yang baik. Gunakan internet untuk tujuan positif seperti perkongsian ilmu, menyambung silaturrahim dengan keluarga yang jauh dan sebagainya. Tekankan apa yang positif yang anak-anak boleh dapat melalui internet.
  6. Peka kepada mood, perwatakan dan perubahan diri mereka. Biar anak anda tahu yang anda sedia mendengar dia bercerita. Beritahu mereka yang jika berlaku apa-apa yang mencurigakan atau tidak menyenangkan mereka di ruangan online, beritahu dan bincangkan dengan orang dewasa.
  7. Ajar mereka berfikir secara kritikal, dan membuat keputusan sendiri sebaiknya. Bagaimana mengenal laman web yang sesuai untuk mereka, apa yang selamat dan tidak selamat untuk diklik, dimuat turun serta dimuat naik kerana ia boleh disalin semula, dicetak dan hampir mustahil untuk ditarik balik. Ia boleh memberi kesan kepada reputasi, persahabatan dan kehidupan mereka.
  8. Yang penting, ajar mereka tentang ihsan, iaitu seolah-olah Allah melihat mereka atau sekurang-kurangnya meyakini bahawa mereka sentiasa dalam pemerhatian Allah. Beri keutamaan kepada yang wajib dahulu. Seperti jangan disebabkan asyik dengan permainan atau melayari internet mereka lupa solat.

Peraturan

  1. Bincangkan peraturan menggunakan internet dengan anak anda. Bercakap secara rasional dan pastikan mereka faham bahawa peraturan ini adalah untuk keselamatan mereka dan keluarga.
  2. Tetapkan masa untuk mereka online. Mungkin boleh berikan syarat untuk mereka menggunakan komputer seperti, siapkan kerja rumah dahulu, atau kemas bilik dahulu.
  3. Letakkan komputer di ruangan terbuka di rumah supaya mudah dilihat dan dipantau. Elakkan meletakkan komputer di bilik tidur anak-anak.
  4. Tentukan ciri-ciri laman web dan aplikasi yang boleh dan tidak boleh digunakan serta maklumat yang boleh dan tidak boleh dikongsikan di internet.
  5. Beritahu mereka sempadan dalam berinteraksi di internet dan hormati pendapat dan privasi orang lain di internet.
  6. Beritahu mereka, biar berinteraksi sekadar online sahaja dan bahayanya bertemu rakan yang dikenali di internet. Oleh kerana kadang-kadang anak muda punya rasa ingin tahu dan ada kemungkinan melanggar larangan ini, maka beri juga panduan jika ingin bertemu kenalan internet. Antaranya, beritahu orang dewasa yang dipercayai tentang butiran perjumpaan (masa, tempat, nombor untuk dihubungi), bawa bersama kawan yang dikenali, bertemu di tempat awam dan tidak tersembunyi.
  7. Letakkan peraturan bertulis berdekatan dengan komputer untuk peringatan bersama.

Kawalan dan Keselamatan

  1. Gunakan perisian untuk Parental Controls. Windows juga mempunyai tetapan untuk mengawal aktiviti perkomputeran anak-anak.
  2. Backup data di dalam komputer dan asingkan dari sambungan internet.
  3. Kemaskini sistem operasi dan juga anti virus untuk mengurangkan risiko gangguan virus dan juga penggodam.
  4. Letak username dan password yang selamat untuk semua akaun sama ada online atau pun di login windows.
  5. Lihat sejarah browser untuk mengetahui ke mana mereka 'pergi'. Ini juga boleh dilihat di Parental Controls.
  6. Pantau email dan akaun laman sosial mereka. Anda boleh berkongsi email atau facebook dengan mereka untuk lebih selamat.
  7. Semak bil telefon dan kad kredit untuk transaksi yang lain daripada biasa.
  8. Bookmark atau tandakan laman web yang selamat untuk kanak-kanak untuk capaian mudah.

Tetapkan matlamat yang munasabah. Anak-anak perlu belajar bertanggungjawab terhadap tindakan mereka -- dengan panduan dan tunjuk ajar daripada keluarga dan kiomuniti. Cuba fahami naluri mereka yang sentiasa dahagakan pengetahuan, dan ingatlah, Internet adalah sumber maklumat yang hebat!

"Didiklah anak kamu mengikut zamannya" - Saidina Umar Al-Khattab.

Rujukan

Child safety online, Malaysian Communication and Multimedia Commission
Internet Safety, KidsHealth
GetNetWise

Login to post comments

Petua Suri

Badge Ratuhati - Mari Promosi

Letakkan badge ratuhati di web anda.

Banner ratuhati.com!
Sila KLIK link ini untuk KOD HTMLdan pastekan di web/blog anda. Terima kasih ;-)
You are here