Wednesday, 01 December 2010 01:34

Panduan Melatih Anak Berpuasa

Written by  Ratuhati.com
Rate this item
(0 votes)

Assalamualaikum jelitawans yang dikasihi.

Dalam sehari dua lagi kita akan berpuasa, insyaALLAH. Eloklah kita mula melatih anak – anak berpuasa seawal usia yang mungkin. Tidak perlu tunggu mereka akil baligh, takut– takut dah terlalu lewat sehingga menyebabkan mereka enggan berpuasa. Yang dirisaukan keengganan berpuasa membawa sampai ke tua!

Saya pernah tengok dengan mata kepala sendiri, sekumpulan lelaki dewasa dan warga emas bersarapan dengan enaknya di sebuah warung makan di tepi jalan di Muar , Johor (bukan semua orang Muar tidak berpuasa). Orang yang lalu lalang pun selamba je tengok mereka. Ada pula yang berhenti, join sekali. Astaghfirullah…Dah macam bukan bulan puasa…Ternganga kami yang melihatnya. Bila ditanya kenapa tak puasa, macam – macam jawapan yang diberi, ada yang gastrik, ada yang baru pulang dari laut, ada yang dah uzur(tak larat nak puasa) dan ada yang tak biasa puasa sebab tak pernah diajar dari kecil. Jawapan yang terakhir itulah yang membuatkan saya berazam melatih anak saya berpuasa seawal usia.

TIPS LATIH ANAK BERPUASA:

  1. Mula dari usia 3 – 5 tahun. Anak saya yang sulung berusia 3 tahun mula berpuasa penuh dan adiknya, berusia 5 tahun ( bukan nak menunjuk, nauzubillah tetapi sebagai galakan kepada jelitawans)
  2. Puasa sekerat hari, kalau mereka larat, puasa penuh
  3. Minta kerjasama guru tadika atau taska dengan memaklumkan bahawa anak kita berpuasa. Jangan diberi makanan atau minuman selagi mereka boleh bertahan.
  4. Kejutkan mereka bangun sahur, kalau mereka mengantuk atau tak larat, dukung mereka ke meja makan dan suapkan mereka.Pastikan mereka diberi minum air kosong yang banyak, bukan air manis atau ais.
  5. Bila anak berpuasa, jangan tunjuk makanan atau minuman yang boleh mengkecurkan air liur mereka.
  6. Bila anak mengeluh lapar atau dahaga, pujuk mereka baik – baik, minta mereka bersabar.
  7. Selalu puji mereka dengan mengatakan mereka anak yang soleh, anak yang baik, anak yang kuat, anak yang power atau apa saja.
  8. Tanya mereka apa yang mereka nak makan dan minum bila berbuka nanti.
  9. Masak atau beli makanan dan minuman kesukaan mereka bila mereka berpuasa sebagai ganjaran dan galakkan.
  10. Selepas tengahari membawa ke petang adalah masa genting. Mereka akan mula meminta berbuka puasa. Di sinilah kebijaksanaan jelitawans untuk memujuk mereka meneruskan puasa.
  11. Sibukkan mereka dengan aktiviti seperti menonton rancangan yang berfaedah di TV, melukis, membaca atau tidurkan mereka.
  12. Selepas asar, mandikan mereka dan pujuk mereka waktu untuk berbuka dah hampir.
  13. Minta kerjasama suami, bawa anak pusing – pusing atau jalan – jalan sebelum waktu berbuka. Untuk mlalaikan mereka dari mengingati lapar dan dahaga.
  14. Suami boleh bawa mereka ke kedai untuk membeli makanan dan minuman yang mereka suka untuk berbuka nanti. Tunaikan saja apa yang mereka minta melainkan makanan yang tidak berkhasiat.
  15. Elakkan makan minum depan anak – anak ketika bulan anda sedang mengambang. Tidak baik,tidak malu dan tidak hormat anak yang berpuasa.
  16. Beri ucapan tahniah , peluk dan sayang mereka walau berapa jam pun mereka berpuasa.
  17. Ini semua latihan untuk berpuasa saja, janganlah serius sangat…hehehe
  18. tetapi amat digalakkan anak berpuasa penuh pada hari pertama mereka berpuasa. insyaALLAH, hari– hari seterusnya mereka akan berpuasa penuh dengan sendiri.
  19. Jangan lupa beri mereka ganjaran sebagai hadiah berpuasa di Hari Raya nanti. InsyaALLAH mereka akan sentiasa menanti bulan ramadahan dengan penuh gembira dan tidak sabar– sabar berpuasa.
  20. Selepas ini, anak jelitawans boleh berpuasa penuh dengan tidak mengharapkan apa– apa ganjaran lagi kerana keseronokan, kegembiraan dan keindahan berpuasa sudah dapat mereka rasai.
  21. Berpuasa melatih ketahanan mental dan fizikal anak seterusnya menguatkan keimanan dalam diri mereka. Mengajar mereka bersabar dan tahan diuji dalam kesusahan dan kelaparan.
  22. Walaubagaimana pun, jelitawans mesti memastikan anak– anak mendapat cukup makanan dan minuman sewaktu di malam hari. Sentiasa pastikan mereka makan dan minum dengan bilangan yang sedikit tetapi kerap.
  23. Jelitawans akan penat sikit dalam melatih mereka berpuasa tetapi berbaloi. Satu kepuasan yang tidak terhingga kerana berjaya mendidik anak berpuasa.
  24. ingin anak soleh dan solehah tidak semudah diucapkan, tidak semudah memetik jari, harus diusahakan dan dilatih dari awal.


AMARAN! JANGAN SEKALI – KALI BERTANYAKAN ANAK ” NAK BUKA PUASA KE? LARAT LAGI KE?” atau seumpama dengannya. Goyah imannya.

JELITAWANS PASTI ADA CARA ATAU FORMULA LAIN UNTUK MELATIH ANAK BERPUASA. MARI KITA KONGSI…

 

Norlaili Salleh,
Melur Jelita

You are here