Thursday, 05 November 2009 13:27

Cerita Penguin Yang Taat

Written by  Ratuhati.com
Rate this item
(0 votes)

gambar: birds.cornell.eduAku membawa anak-anakku ke Marine Life Educational & Entertainment Park yang mana terdapat persembahan aksi ikan paus KillerWhale, ikan lumba-lumba dan juga persembahan oleh seekor penguin.

Si penguin ini membuat persembahan yang amat hebat dan mengkagumkan, terjun dari papan terjun yang tinggi, menimbang bola dgn hidungnya, melompat di tengah gelung api dan macam-macam lagi. Sambil memeluk anakku, kami menikmati persembahan penguin tersebut. Apa sahaja yg diperintah oleh pelatihnya, dia dengan patuh melakukannya. Jika dia disuruh ambilkan sesuatu, dengan pantas dilakukannya.


Aku memandang anak-anakku, terdetik dihatiku, selalunya jika aku meminta mereka melakukan sesuatu, mereka akan merungut, bercerita mengapa itu, mengapa ini tetapi masih tetap tidak mahu melakukannya. Aku tahu anak aku lebih pintar daripada penguin tersebut. Tetapi apa yang membuatkan mereka berkelakuan begitu, amat sukar mengikut nasihat, pujukan apatah lagi perintah.

Selepas tamat persembahan, aku membuat keputusan untuk bertanya jurulatih penguin tersebut bagaimana dia boleh melatih penguin tersebut melakukan apa sahaja arahannya dengan taat sekali. Sambil memandang kearah anak-anakku, dia berkata "Tidak seperti ibubapa, setiap kali penguin saya melakukan apa yg saya suruh, saya akan beri perhatian sepenuh kepadanya, memberi pelukan kepadanya dan memberinya ganjaran iaitu ikan".

Serta merta terlintas di hatiku, setiap kali anak aku melakukan apa yang aku pinta ataupun sesuatu yang baik, aku sama ada kurang atau amat jarang sekali memberi perhatian kepadanya, mungkin kerana aku seorang yang sentiasa sibuk. Tetapi setiap kali anakku tidak mahu melakukannya, perhatian ku tertumpu kepadanya sebab aku tidak mahu membuat mereka menjadi anak yang ingkar.

Ini sebenarnya secara tidak langsung aku mengajar mereka menjadi "little monster" atau pembangkang cilik jika mereka mahu perhatianku. Sejak hari itu aku cuba sedaya upaya memberi perhatian yang lebih kepada setiap tidak tanduk mereka yang baik dan memberi ganjaran setimpal dengannya. Aku utamakan pelukan, ciuman dan juga sentuhan yang mana itu juga merupakan tindakan fizikal yang amat berkesan menyalurkan perasaan kasih sayang.

Kita tenggelam dengan cara pemikiran yang lebih menonjolkan benda-benda yang negatif, contohnya tajuk-tajuk utama akhbar selalunya mengenai musibah yang melanda, menonton TV pula dgn cerita keluarga yg porak poranda, filem pula mengenai tembak menembak, bunuh membunuh dan kemusnahan dunia yang mana mempengaruhi minda separuh sedara kita untuk hanya memberi perhatian kepada perkara-perkara negatif.

Di dalam hidup kita apa yang kita fokuskan itu yang menjadi realiti hidup kita ini. Jika kita fokus akan kedegilan anak-anak, kemalasan suami, kelancangan mulut isteri, itu juga yang akan lebih berkembang biak menjadi lebih teruk dari hari kehari.

Energy Flows Where Attention Goes.

Ditulis oleh:

Helmis, Cerita Penguin yang Taat, syurgadidunia

Gambar: birds.cornell.edu

You are here