Tuesday, 16 March 2010 00:40

Dilema Penjagaan Anak - Antara Cakap dan Nasihat Orang dengan Pendirian Kita

Written by  Ratuhati.com
Rate this item
(0 votes)

“Itulah.. budak-budak, kalau kita jaga sangat, mudahlah dapat penyakit…” kata seseorang kepada saya apabila dia mengetahui Darwisy dijangkiti HFMD kali ketiga baru-baru ini.

Tersentak juga saya bila dia berkata begitu. Okey, mungkin sebab dia ingat saya terlalu menjaga anak saya nan seorang tu. Ya, memang saya jaga. Dah namanya anak saya, dah tentulah saya jaga. Takkan saya nak biarkan sahaja... Tetapi, tidaklah saya terlampau jaga sehingga dia tidak boleh berkawan dengan kanak-kanak lain, dan tidak boleh bermain di atas tanah, atau sentiasa berkepit ke sana ke sini. Saya sendiri tidak faham apa yang dimaksudkan dengan ‘jaga sangat’ seperti yang dia katakan tu... Sebab saya selalu bawa anak saya ke sekolah diwaktu petang? Sebab saya beri anak saya susu ibu? Sebab saya jaga pemakanan anak saya? Sebab saya tak mahu hantar anak saya kepada mertua saya?

 


Tentu ramai antara kita yang selalu berada dalam dilema, “diluah mati emak, ditelan mati bapa” (takut nak tulis peribahasa ni sebenarnya.. Huhu) terutama berkaitan dengan penjagaan anak. Dalam ratuhati.com contohnya, selalu terdapat ahli forum yang mengutarakan masalah dilema penjagaan anak-anak terutama dengan mertua atau ipar duai. Saya sendiri pernah mengalami masalah begini. Baru je masukkan dalam blog mengenai perkara ini. Biasalah, kita hidup bukan seorang. Ramai orang disekeliling kita, dah tentu masing-masing ada pendapat dan cara masing-masing.

Tetapi, walaupun ambil hati, atau terasa sedih dengan apa yang orang katakan, jarang sekali saya mengikut sahaja apa yang mereka suruh. Saya tetap dengan pendirian. Kalau saya tidak mahu, saya tetap tidak mahu. Bukan saya bagus, bukan saya pandai, tapi, saya akan ambil dan buat jika perkara itu saya rasa baik untuk anak saya. Jika sebaliknya, saya abaikan. Kita kan boleh fikir sendiri baik dan buruk sesuatu tindakan tu… jadi, untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah dilema ini, kita perlu bertegas. Saya sudah memikirkan langkah-langkah untuk menghadapi masalah ini semenjak dari belum bersalin lagi. Kerana saya pasti saya akan menghadapi masalah sebegini.

Sebelum bersalin, kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal, dan lengkapkan diri kita dengan ilmu-ilmu keibubapaan. Sama ada dari pembacaan, melayari internet, dan mengumpulkan ilmu dari orang-orang yang lebih berpengalaman. Tak semestinya semuanya kita ambil, kita hanya perlu cari, dan sesuaikan dengan keadaan serta cara hidup kita.

Bila dah bersalin, tentu ramai yang nak ‘membantu’ kita. Maklumlah, kita ibu baru. Jadi, mestilah mereka mahu membantu. Jangan marah-marah, anggap sahaja mereka berniat baik mahu membantu ibu baru. Tapi, tetapkan pendirian. Contohnya, jika tidak mahu anak diberi susu selain susu ibu, terangkan kepada mereka dengan jelas. Kadang-kadang, mereka tak tahu. Kitalah yang perlu beritahu. Jika mereka bertegas juga dan buat-buat bagus untuk beri keputusan kepada kita, masa inilah kita perlu menunjukkan ketegasan. Untuk bertegas, tak perlu sampai bergaduh, cukup dengan katakan tidak. Tak perlu ulas panjang lebar lagi. Nanti kita juga sakit kepala dan stress. Kalau kita menurut, kita juga yang akan susah nanti. Kerana mereka akan berterusan memaksa kita mengikut cara mereka. Tapi, kalau kita sudah bertegas, mereka sendiri akan faham, dan tidak lagi memaksa kita.

Sepanjang anak membesar, pasti ada ramai lagi yang mahu ‘membantu’ dan memberi berbagai-bagai komen mengenai cara kita membesarkan anak. Pastikan kita tidak bertelagah dan beria-ia menegakkan apa yang kita mahu. Cukup sekadar mendengar dan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Ada masanya, saya akan terangkan kenapa dan mengapa, tapi ada masanya, saya lebih suka mengambil pendekatan senyum sahaja. Kalau agak-agak dah rimas sangat, tinggalkan mereka dan terus tutup telinga.

Orang tak akan berhenti bercakap, tak akan berhenti memberi komen.. Mulut orang, susah nak ditutup. Tapi, kita boleh tutup telinga, kan?
*pesanan untuk diri sendiri yang kadang-kadang beremosi bila orang bercakap itu ini mengenai anak saya….

read more: http://syayassir.com/blog/#ixzz0iimalkin
under creative commons license: attribution

Last modified on Saturday, 30 April 2011 16:56
You are here