Tuesday, 22 July 2008 22:35

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

Written by  Penulis
Rate this item
(0 votes)
Penyakit tangan, kaki dan mulut ialah sejenis jangkitan virus yang disebabkan oleh beberapa kumpulan virus dan kanak-kanak antara mereka yang berisiko tinggi mendapat penyakit ini.

Deskripsi

{mosimage}Jangkitan ini menyebabkan timbulnya ruam berserta lepuh di tekak, tonsil, tangan (tapak tangan), kaki (pada tapak kaki) dan di sekitar kawasan lampin. Biasanya penyakit ini hanya sekadar sakit ringan dan ruam yang timbul itu akan hilang dalam tempuh 5 hingga 7 hari.

Terdapat beberapa jenis virus yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut. Virus yang biasa yang menjadi penyebab penyakit ini ialah virus Coxsackie A16. Kadang-kala terdapat jenis kuman virus lain seperti virus Coxsackie A atau enterovirus 71 yang boleh mencetuskan penyakit ini. Virus Coxsackie merupakan salah satu dari jenis virus yang terdapat di dalam kelompok virus yang dikenali sebagai enterovirus seperti virus polio, virus coxsackie dan echovirus.

Faktor Risiko

Cara penyakit ini merebak

  • Penyakit tangan, kaki dan mulut ialah penyakit berjangkit yang sederhana. 
  • Ia merebak melalui sentuhan atau kontak secara langsung dengan lelehan yang keluar dari hidung dan tekak atau najis mereka yang telah dijangkiti kuman ini.
  • Penyakit ini amat mudah berjangkit pada minggu pertama pesakit menghidapinya.
  • Penyakit tangan, kaki dan mulut tidak boleh merebak kepada atau daripada binatang peliharaan ataupun binatang-binatang lain.

Faktor Risiko

Kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun amat mudah dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut. Walau bagaimanapun, penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur. Jangkitan ini akan menghasilkan daya tahan (imuniti) terhadap virus tertentu tetapi serangan atau episod yang kedua mungkin akan berlaku berikutan jangkitan dari beberapa jenis virus yang lain dalam kelompok enterovirus.

Gejala

Tanda-tanda dan Gejala

  • Demam
  • Sakit tekak
  • Ulser pada tekak dan mulut
  • Sakit kepala
  • Ruam bersama lepuh terdapat di tangan, kaki dan di kawasan lampin
  • Hilang selera makan

Komplikasi

  • Kemungkinan berlakunya sawan berikutan deman panas.
  • Kemungkinan berlakunya jangkitan pada sistem saraf (seperti meningitis virus atau ensefalitis).
  • Kemungkinan terdapatnya keradangan pada otot jantung (myocarditis).
  • Komplikasinya sangat merbahaya dan boleh membawa maut.

Ujian dan Pemantauan

Diagnosis penyakit tangan, kaki dan mulut boleh dilakukan berasaskan sejarah penyakit dan pemeriksaan fisikal. Biasanya pengesahan diagnosis melibatkan ujian darah yang dilakukan di makmal khas yang akan menentukan jenis virus yang terlibat.

Pemantauan

Sila hubungi doktor jika :-

  • Anak anda tidak membuang air kecil lebih dari 8 jam
  • Anak anda kelihatan begitu tidak sihat (kelihatan kusut, mengantuk, pucat atau berbelak-belak, resah atau meragam dan tidak dapat tidur atau berpeluh dingin)
  • Demam yang berpanjangan sehingga lebih daripada 3 hari.
  • Kesakitan pada mulut semakin teruk.
  • Anak anda mengalami lemah otot kaki dan tangan atau diserang sawan.

Jika anak anda ada menunjukkan simptom seperti di atas, dapat rawatan doktor segera. Jangan bersikap sambil lewa. Sebarang kelewatan untuk mendapatkan rawatan mungkin boleh menyebabkan kematian.


Pencegahan

Secara amnya, orang awam hendaklah mengikuti langkah-langkah berikut  :-

  • Berhati-hati dan tumpukan perhatian kepada nasihat yang diberikan kakitangan kesihatan
  • Jangan terlambat dalam mendapatkan rawatan.
  • Elakkan membawa anak anda ke tempat awam seperti pasaraya, pusat membeli-belah, kolam renang awam, sekolah-sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak dan lain-lain.
  • Berhati-hati dari segi kebersihan semasa menyediakan makanan.
  • Basuhlah tangan selepas keluar dari tandas.
  • Basuhlah tangan anda selalu terutamanya selepas menyalin lampin.
  • Permukaan yang telah tercemar hendaklah dibasmi kuman dengan menggunakan pencuci.
  • Basuh pakaian yang terkena kotoran secepat mungkin.
  • Jangan berkongsi barang kegunaan seperti tuala mandi, berus gigi, pakaian dan sebagainya.
  • Elakkan diri daripada mengikuti aktiviti luar rumah sehingga pihak berkuasa telah mengesahkan selamat untuk menjalani kegiatan harian.
  • Elakkan diri daripada mendekati pesakit penyakit HFM.
  • Pihak kesihatan hendaklah memeriksa tahap kebersihan di tempat di mana terdapat ramai kanak-kanak tinggal (contohnya tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak) dan arahkan supaya tempat itu ditutup jika tahap kesihatannya tidak mencapai tahap kebersihan yang sepatutnya.
  • Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit HFM tidak dibenarkan mengikuti program di pusat penjagaan kanak-kanak, sekolah atau aktiviti berkumpulan yang lain.

Langkah berikut adalah cara lain untuk pencegah yang boleh diambil:-

  1. Berikan rawatan di rumah untuk kes yang tidak disyaki penyakit HFM tetapi jika anda nampak tanda-tanda komplikasi seperti sakit pada leher atau pada tangan dan kaki, segera dapatkan rawatan doktor.
  2. Jika demam anak anda masih tidak berubah selepas diberi ubat, segera berjumpa doktor semula

Jika terdapat tanda-tanda dehidrasi (kulit dan membran mucus kering, turun berat badan, meragam, keletihan, kurang air kencing atau air kencing berwarna gelap), segera berjumpa doktor.

Adaptasi daripada artikel: Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut, infosihat.gov.my 

Last modified on Wednesday, 23 July 2008 11:27
You are here