Sebelum itu, izinkan saya menerangkan sedikit sebanyak ragam para bayi di awal tumbesaran mereka.
Sebelum berusia 6 bulan, bayi adalah makhluk yang sangat sensitif dan prihatin kepada perubahan-perubahan yang berlaku di persekitarannya. Dalam tempoh ini juga, situasi mereka benar-benar menguji daya kreativiti, kesabaran dan ketabahan para ibu.
Justeru, bagi para ibu yang memang berniat mahu meneruskan penyusuan eksklusif kepada si manja, benar-benar perlu bertekada dan bersabar dalam menghadapi situasi yang mencabar ini.
Apa itu penyusuan secara eksklusif?
Polisi penyusuan ibu secara eksklusif selama 6 bulan bermakna, bayi hanya bergantung kepada susu ibu semata-mata bagi meneruskan kehidupan seharian. Tiada sebarang air masak, susu formula, air glukos dan sebagainya yang dicampur dan diberikan kepada bayi walaupun sedikit. (sekadar iklan)
Puting susu
Polisi penyusuan ibu yang sebenarnya tidak menggalakkan para ibu menyusu menggunakan botol. Polisi penyusuan ibu sangat menggalakkan para ibu menggunakan cawan, sudu ataupun picagari sebagai ganti kepada puting ibu.
Tetapi, cara menggunakan botol bersesuaian pula dengan gaya hidup di Malaysia. Ini kerana, kebanyakan ibu meletakkan anak mereka di nurseri ataupun pusat-pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak. Ini bermakna, bilangan bayi dan kanak-kanak yang perlu dijaga adalah ramai, dan bilangan penjaganya pula hanya beberapa orang.
Walaupun ada juga yang meletakkan anak mereka di rumah penjaga bayi, tetapi penjaga yang sanggup memberi bayi susu tanpa menggunakan botol boleh dikatakan masih minoriti. Justeru, penggunaan botol masih menjadi keutamaan.
Jenis-jenis Puting
Terdapat pelbagai jenis dan bentuk puting susu yang berada di pasaran, Puting-puting ini terbahagi kepada 2 kategori iaitu:
- puting panjang
- puting pendek
Kedua-dua puting ini terdiri daripada dua jenis material iaitu:
- silikon (yang berwarna putih jernih)
- latex (yang berwarna kuning)
Kedua-dua puting ini juga terbahagi kepada beberapa bentuk seperti:
- bentuk biasa/standard
- bentuk lebar (wide neck- seperti bentuk puting avent)
- bentuk ortodontik (bentuknya berlekuk-lekuk dan unik)
- dan beberapa jenis bentuk lagi.
Lubang puting juga terdapat pelbagai jenis dan saiz iaitu:
- saiz S
- saiz M
- saiz L
- saiz XL
Jenis Puting
- Saiz/ potongan 'Y' (sesuai untuk bayi yang berusia 2 bulan ke atas. Fungsinya supaya susu hanya keluar apabila bayi menyedutnya sahaja. Dengan ini, susu tidak akan membuatkan bayi tersedak/ tumpah apabila botol disengetkan ataupun terjatuh). Ada juga saiz Y yang sesuai untuk bayi kecil tetapi lubang Y itu lebih kecil daripada biasa.
- Saiz/ potongan 'X' (sesuai untuk bayi yang lebih besar. Sebenarnya ia direka khas untuk memudahkan bayi meminum nestum dll melaluinya. Tetapi campuran makanan di dalam botol bayi adalah DILARANG sekarang ini memandangkan ia boleh meningkatkan kes-kes kematian akibat tercekik)
Dalam konteks penyusuan ibu yang biasanya dialami oleh para ibu yang bekerjaya, kejadian ini pasti berlaku:
Proses Membeli, Menukar dan Mencuba Pelbagai Jenis Botol dan Puting
Mengapa saya berikan gelaran ini? Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri dan juga rakan-rakan laktasi yang lain.
Ibu-ibu boleh mencuba pelbagai alternatif/ jenis botol yang terdapat di pasaran terutama yang menyerupai/mimik puting ibu seperti:
Kategori leher lebar (wide neck):
- Breastflow: bentuknya lebar seperti avent, mempunyai banyak lapisan dan harganya lingkungan rm21
- MAM: bentuk putingnya istimewa
- Tommee Tippee: lebar dan pendek. Putingnya juga lebih luar biasa
- Avent: masalah utama stok sentiasa cepat habis terutama bagi puting saiz kecilnya
- Adiri: putingnya hampir menyerupai puting Tommee Tippee. Ini botol yang paling mahal setakat ini iaitu sekitar rm90 bagi satu botol kecil
Kategori leher standard (standard neck)
- MLO
- Medela
- dan pelbagai jenis tempatan (tetapi pastikan ibu-ibu membeli botol-botol yang menggunakan bahan PP, bernombor 5, saya akan terangkan konsep material botol di entri yang lain)
Kandungan Susu Mengikut Bayi
Pada pandangan saya, ibu-ibu boleh cuba memberi sukatan bekalan EBM 2oz bagi setiap botol pada bayi yang masih kecil. Ini boleh dicuba dahulu kerana lebih banyak membawa kebaikan iaitu:
- Stok susu puan dapat dijimatkan dan tidak membazir
- Susu ibu-ibu boleh ditingkatkan kepada 3oz apabila bayi sudah mula pandai menghabiskan sukatan itu
(Anak saya berusia 1 tahun setengah masih menggunakan sukatan 3oz. Tetapi pastikan sekurang-kurangnya dibekalkan 3-4 botol sehari. 1oz susu ibu melangkaui khasiat ber'oz' susu formula ^_^)
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna ibu-ibu perlu menurunkan kadar kekerapan mengepam. Pam perlu diteruskan seperti biasa pada waktu bekerja, dan disusukan secara terus apabila bersama bayi. Ini bagi memastikan produksi susu ibu-ibu kekal sama dan tidak menurun.
(Sekali lagi, jangan bimbang dengan kuantiti susu itu mahupun cakap-cakap orang, anak saya yang berusia 1 tahun 6 bulan juga hanya dibekalkan dengan 3oz sebanyak 3-4 botol setiap hari)
Saya berharap para ibu semua dapat berjumpa dengan 'botol idaman' yang mampu memikat hati si kecil. Semoga dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu menangani situasi mencabar itu. ---/-(@

