Thursday, 02 June 2011 15:38

Gaya Hidup Sihat Bersama Herba Alami Featured

Written by  Aliah Bte Zakaria
Rate this item
(0 votes)

Gaya hidup moden ada harganya. Kita suka yang segera, tetapi badan kita sengsara. Kita sentiasa sibuk, tetapi badan jadi teruk. Kita bangun pukul enam, tetapi tidak sempat bersenam. Kita selesa di dalam kenderaan mewah, tetapi ia juga membuat alam marah.

Penyakit jantung, kencing manis, dan barah semakin jadi biasa. Ketika inilah baru kita tersedar, yang kita sudah tersasar. Ramai yang mula kembali menghargai yang alami, yang semulajadi. Gaya hidup moden bukan segala-galanya.

 

 

Gaya hidup sihat sangat penting dipraktikkan sebagai langkah pencegahan jangka panjang, penjagaan kesihatan harian, dan ketika menjalani terapi herba. Herba memerlukan persekitaran organ sistem yang kondusif untuk memberi kesan yang diharapkan.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah memakan makanan yang sesuai menurut jenis metabolisma. Air berkafin termasuk kopi, teh, air minuman untuk tenaga adalah punca stress. Mengamalkan meminum teh dari herba alami seperti serai, pandan wangi, daun jambu batu dan pegaga kering baik untuk sistem penghadaman, sirkulasi dan saraf. Jadikan meminum air lebih dari 1 liter sehari sebagai mandatori.

Tabiat merokok dan aditif makanan menyumbang radikal bebas dan menjadi beban kepada sel-sel untuk berfungsi. Lemak trans adalah punca penyakit degeneratif yang didapati dari marjerin dan minyak sayuran iklim sederhana termasuk minyak jagung, minyak kacang soya, minyak canola, dan minyak bunga matahari. Kurangkan atau berhenti memakan makanan terproses kerana ia kurang nutrisi.

Gula dan karbohidrat terproses pula menyebabkan glaikasi, stres, haipoglaisemia, haiperinsulinemia serta penuaan. Amalkan memakan ulaman segar, jus sayuran dan jus buah-buahan sebagai penyumbang bahan antioksidan.

Senaman tiga puluh minit, tiga kali seminggu membantu anabolik metabolisma. Urus stres dengan bijak. Hubungan seks membentuk psiko-emosi yang baik. Sentiasa mempertingkatkan akhlak dan rohani termasuk keugamaan. Sayangi diri anda, orang lain, alam dan Tuhan selain selalu berbaik sangka.

Kesimpulannya, gaya hidup sihat dengan penggunaan herba alami menitikberatkan hubungan tubuh, minda dan rohani. Ia juga menitikberatkan kasih-sayang.

Glossari

Glaikasi – gabungan glukos dengan protin menjadi punca penyakit
Degeneratif
Haiperinsulinemia – paras insulin darah tinggi dari paras normal
Haipoglaisemia – paras glukos darah rendah dari paras normal

Last modified on Saturday, 04 June 2011 09:59
Login to post comments
You are here