Cinta itu milik ALLAH.
Nikmat dan kebahagiaan itu juga hakikatnya milik ALLAH,
dipinjamkan sementara buat makhluq bernama manusia,
untuk diuji seteguh mana iman, seikhlas mana pengabdian,
dan setinggi mana kesyukuran dalam berhadapan dengan anugerah-anugerah yang dipinjamkan.
Apakah semakin teguh penyerahan hati kepada ALLAH, atau terus terleka sendiri tanpa menyedari hakikatnya diri sedang diuji?
Ikatan perkahwinan adalah salah satu daripada nikmat dan jalan kebahagiaan yang ALLAH berikan kepada para hambaNYA, agar ketenangan hati itu dapat dirasai dan tanggungjawab sebagai khalifah ALLAH di muka bumi ini terasa lebih ringan digalasi. Maka, bagaimanakah selayaknya sikap manusia terhadap Maha Pemberi Anugerah apabila menerima sesebuah hadiah darinya yang tidak ternilai harganya - iaitu sebuah rumahtangga yang terhimpun padanya seribu satu rahmah dan mawaddah?
Dalam pada kita sibuk dan bersungguh-sungguh menzahirkan penghargaan dan kecintaan terhadap pasangan suami/isteri kita kerana kebaikan-kebaikan dan pengorbanan beliau dalam mengemudi cinta bersama kita, jangan kita terlupa untuk turut membuktikan kesyukuran dan memulangkan kecintaan kita kepada ALLAH SWT, kerana hakikatnya DIAlah yang paling layak untuk menerima pujian, penghargaan (kesyukuran), dan kecintaan dari hati kita, kerana tanpa izin dan rahmat belas dariNYA, tidak mungkin ikatan suci perkahwinan dan percintaan antara dua pasangan suami isteri dapat dirasai dan seterusnya, kekal bersemi sehingga ke hari ini.
Justeru, dalam meraikan ulangtahun perkahwinan bersama pasangan tercinta, mulakanlah ianya dengan sebaik-baik pujian dan kesyukuran kepada ALLAH, moga tertulis kita sebagai hambaNYA yang bersyukur dan semakin hangat rasa cinta yang terbina antara kita lantaran kesyukuran yang dipanjatkan kepadaNYA. Agar juga, kita tidak terleka dengan kurniaan nikmat cinta sementara yang telah banyak menghanyutkan manusia dalam dunia asyik cinta dan angan-angannya yang penuh tipudaya.
ALLAH berfirman di dalam Surah Ibrahim: 7 "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambahkan nikmat kepadamu. Tetapi jika kamu mengingkari nikmatKU, pasti azabKU adalah sangat berat."
Bersyukurlah kepada ALLAH di atas kehendakNYA yang terus menyatukan rasa cinta dan kasih antara kita dengan pasangan kita sebelum kita bertungkus lumus menyiapkan hadiah, surprise dan mengatur agenda untuk meraikan hari indah tersebut dengan pasangan kita. Di sini saya ingin kongsikan beberapa tips, moga bermanfaat untuk teman-teman semua dalam meraikan ulangtahun perkahwinan dengan lebih kreatif sebagai seorang hamba, inshaALLAH.
1. Pada malam sebelum tibanya hari ulangtahun perkahwinan, tidurlah awal untuk lakukan qiamullail bersama suami. (Tunaikan sekurang-kurangnya solat sunat 2 rakaat, memohon agar diberkati ikatan sehingga ke akhirnya) Suami menjadi imam, isteri menjadi makmumnya. Panjatkan doa di dalam sujud-sujud kita agar ikatan yang terbina menjadi asbab kita lebih mendekatkan diri kepadaNYA dan pemudah cara untuk kita menghuni di syurgaNYA kelak, aameen.
2. Bacalah al Quran, dengan kualiti dan kuantiti yang lebih banyak dari yang biasa dilakukan sebelum ini. Bacaan al Quran dapat melembutkan dan membersihkan hati. Lakukan pembersihan hati dengan bacaan al Quran, moga segala yang keruh seperti syak wasangka, perasaan tidak puas hati, rajuk majuk dan sebagainya terubat dengan alunan bacaan al Quran yang bersifat suci lagi menyucikan hati.
3. Lakukan solat fardu berjemaah. Kalau sebelum ini, sangat susah untuk menjadikan suami sebagai imam, usahakanlah untuk sekurang-kurangnya mencapai matlamat itu pada hari yang bersejarah ini. berimamkan suami, dapat menundukkan ego isteri dan dapat meningkatkan rasa kepemimpinan dan tanggungjawab dalam diri suami, inshaALLAH. Semoga suami menjadi sebenar-benar suami dalam erti kata memimpin isteri menuju jalan ALLAH, dan semoga isteri menjadi sebenar-benar isteri dalam erti kata mentaati suami, tamsilan ketaatan kepada ILAHI. InshaALLAH.
4. Tazkirah ringkas. Suami membentangkan tentang peranan dan tanggungjawab suami, manakala isteri membentangkan peranan dan tanggungjawab isteri. Bukan vice versa.
5. Tambahkan amalan-amalan sunat dan harus yang lain seperti saling bermaaf-maafan setulus hati, bersedekah, melakukan azam untuk transformasi diri, berpuasa & berbuka bersama-sama (andai jatuh hari Isnin atau Khamis) dan sebagainya. Tambahkan ikut kreativiti.
Seterusnya, boleh buat macam apa yang dah di-plankan seperti price giving, honeymoon, candle light dinner, surprise ceremony or anything asalkan ianya tidak bercanggah dengan syariat. Yang utama, biarlah sambutan dimulakan dengan memulangkan segala kesyukuran dan kecintaan kepada ALLAH.
Semoga ikatan yang terbina kekal hingga ke akhirnya dan redha Ilahi. Aameen..
