Thursday, 10 September 2009 23:24

Beza Antara Cyst dan Endometriosis

Written by  Ratuhati.com
Rate this item
(0 votes)

SELAMA ini saya mendengar mengenai cyst dan endometriosis yang sering dialami oleh wanita. Apakah sebenarnya perbezaan antara cyst dan endometriosis?


NOOR,
Kuala Lumpur

ENDOMETRIOSIS adalah penyakit yang berkait dengan kehadiran tisu atau darah menyerupai endometrium di lokasi yang berlainan daripada sepatutnya.

Endometriosis berasal daripada perkataan endometrium. Endometrium pula adalah lapisan terdalam dinding rahim yang berubah-ubah ciri dan ketebalannya mengikut kitaran haid seseorang ataupun pengaruh hormon.

Ia mula menebal setelah haid kering sebagai persediaan untuk menerima perlekatan atau implantasi embrio, jika tidak, tisu ini akan terpisah dan gugur sebagai darah haid.

Bagi sebahagian wanita, tisu atau darah endometrium ini tidak gugur semuanya menuruni pintu rahim ke luar faraj sebagai haid, tetapi masuk menembusi dinding otot rahim ataupun keluar menerusi laluan tiub falopio ke dalam ruang pelvis atau abdomen.

Tisu ini berpotensi 'hidup membiak' di bawah pengaruh hormon estrogen dan berlakulah pengumpulan darah menyerupai haid di dalam otot rahim membentuk adenomyosis (menyerupai fibroid tetapi dengan sempadan yang kurang nyata) atau organ lain yang terkena, lazimnya tiub falopio dan ovari.

Apabila ia mengenai ovari, ia berupaya membentuk sejenis cyst mengandungi darah yang lebih dikenali sebagai endometrioma atau endometriotic cyst atau cyst coklat.

Endometriosis adalah istilah umum bagi penyakit ini, adenomyosis pula merujuk khas kepada endometriosis di dalam otot rahim, manakala endometrioma atau endometriotic cyst atau cyst coklat pula khas merujuk kepada endometriosis pada ovari yang membentuk cyst. Pada organ lain dan kawasan ruang atau dinding pelvis atau abdomen, hanya istilah umum endometriosis digunakan.

Cyst ovari pula boleh berupa cyst endometriosis atau cyst penyakit lain.

Kandungan cyst ovari boleh berupa cecair (serous) atau cecair likat (mucinous) atau darah (haemorrhagic) atau darah endometrium (endometriotis) atau bercampur bahan pepejal (solid-cystic) atau polisistik.

Endometriosis peringkat lanjut (peringkat tiga atau empat) dikaitkan dengan masalah kesuburan, terutama apabila ia mengakibatkan kerosakan pada tiub falopio serta anatomi organ reproduksi dan apabila ia merosakkan risu ovari.

Ia boleh menyebabkan masalah senggugut dan sakit ketika hubungan seks.

Ia juga boleh menyebabkan sakit ari-ari yang kronik jika sudah berlaku perlekatan organ misalnya usus. Di samping itu, ia juga sering dikaitkan dengan kehadiran fibroid pada masa sama memandangkan fibroid juga membesar dengan pengaruh hormon estrogen.

Sumber:
Beza antara cyst dan endometriosis
PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

Login to post comments
You are here