Oleh kerana badan kita tidak menghasilkan kalsium, maka kita perlu dapatkannya daripada sumber makanan. Antara yang sangat sinonim dengan sumber kalsium adalah susu. Sebenarnya ada banyak lagi sumber kalsium yang boleh kita masukkan dalam menu keluarga kita. Antaranya...
Produk Tenusu
Secawan susu sama ada susu segar, susu rendah lemak, susu skim atau susu sejat memberikan 300 miligram kalsium. Kita juga boleh mendapat kalsium daripada yogurt atau dadih, keju, dan aiskrim. Ia boleh digandingkan dengan buah-buahan kering yang tinggi kalsium seperti kurma, kismis, pic dan prun.
Sumber alternatif ini sesuai untuk mereka yang tidak serasi dengan kandungan laktosa dalam susu lembu. Selain daripada itu, jangan pandang sebelah mata susu kambing kerana hamisnya. Susu kambing mempunyai kandungan kalsium yang lebih tinggi daripada susu lembu disamping khasiat-khasiatnya yang lain.
Produk Soya
Banyak pilihan jika mahu memilih produk berasaskan soya. Air soya, tauhu, tempe dan taufufah; pilih sahaja yang mana berkenan pada selera. Secawan air soya mengandungi 300 miligram kalsium. Jika mahukan yang lebih baik, pilihlah soya yang organik.
Ikan
Antara ikan yang tinggi kalsium dan mudah didapati di negara kita ialah ikan bilis dan ikan sardin dalam tin. Ikan ini lebih baik dimakan bersama tulangnya kerana di sinilah punca utama kalsiumnya. 75 gram sardin memberikan 180 hingga 280 miligram kalsium. Ikan-ikan lain adalah ikan kembung, salmon dan juga ikan tongkol/ tuna. Ikan salmon turut mengandungi vitamin D yang membantu penyerapan kalsium oleh badan.
Sayuran Hijau
Sayuran hijau seperti brokoli antara sumber kalsium yang baik. Secawan brokoli yang telah dimasak memberikan 35mg kalsium. Selain daripada brokoli, sayuran lain yang mudah didapati ialah bendi, bak choy, cekur manis dan juga kobis. Kandungan kalsium dalam 1/2 cawan kobis dan bak choy adalah 190 mg. Wah! lebih hebat daripada sayuran import ;-)
Makanan Diperkaya Kalsium
Makanan ini jika tidak hanya mengandungi sedikit atau tanpa kalsium, tetapi ia telah diproses sehingga kaya dengan kalsium yang penting untuk badan kita. Sebiji buah oren membekalkan lebih kurang 60 mg kalsium, manakala segelas jus oren yang telah diperkaya dengan kalsium mengandungi sehingga 350mg kalsium. Makanan lain antaranya ialah bijirin sarapan (cereal), roti putih dan biskut. Sila baca label untuk kandungan tepat kalsium di dalamnya.
Kekacang
Selain daripada mengandungi kalsium, kekacang seperti kacang tanah dan kacang badam mengandungi potassium yang boleh mengelakkan kehilangan kalsium ke dalam air kencing. Kekacang lain adalah pistachio, kuaci bunga matahari, dan juga kuaci labu. Nampaknya kita punya lebih sebab untuk mengunyah kuaci. ;-)
Selain daripada mengamalkan makanan di atas dalam kadar secukupnya, anda juga boleh kurangkan pengambilan garam. Lebih garam dalam makanan anda, lebih banyaklah kalsium yang akan keluar melalui air kencing/ urin.
Dapatkan cahaya matahari secukupnya kerana dengannya badan kita akan menghasilkan vitamin D yang membantu penyerapan kalsium ini.
Nota:
Kalsium membantu badan kita dalam pelbagai cara, antaranya: